11 September 2009

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Tanding di Bagan Pinang?

 

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar adalah antara tiga nama telah disenaraikan untuk dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PAS negeri itu malam tadi.

Menurut sumber, kebanyakan 25 ahli jawatankuasa bahagian, lebih cenderung untuk memilih Zulkefly untuk mewakili PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Di peringkat PAS Pusat pun, ada harapan cerah beliau terpilih (sebagai calon)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Sumber itu berkata pemilihan Zulkefly (foto) dianggap bersesuaian memandangkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man juga dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos lalu.

Tambahan pula, kata sumber lagi, Dr Rosli sekarang berada di Bangladesh atas urusan perniagaan.

Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Menurut sumber itu lagi, mesyuarat malam tadi juga turut membincang dan menyusun pembahagian tugas jentera pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Mengenai pendekatan kempen pilihanraya kecil kali ini, sumber berkata: "Kita mengambil pendekatan berhemah, iaitu tidak menyerang peribadi calon lawan kerana ia tidak berkesan terhadap pengundi Melayu.

"Tambahan pula, Bagan Pinang adalah kubu kuat (bekas menteri besar) Tan Sri Isa Samad yang mempunyai saudara mara di situ. Jika menyerang secara melulu, Pakatan Rakyat akan hilang sokongan, terutama pengundi Melayu," kata sumber itu.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, katanya, Pakatan Rakyat memenangi tiga daripada lapan peti undi di DUN tersebut di mana ketiga-tiganya merupakan kawasan kaum India.

"Kita akan mempertingkatkan undi kaum India di samping memberi penerangan dengan lebih baik kepada masyarakat Melayu.

"Kita ada masalah di kawasan perkampungan majoriti Melayu dan undi Pos," katanya.

Menurut sumber itu lagi, antara isu yang boleh dibangkitkan oleh Pakatan ialah isu kepala lembu di Shah Alam, isu kematian Teoh Beng Hock, isu kenaikan cukai tanah dan cukai pintu serta isu tanah adat yang tergadai.

 

Salahudin Ayub Pengarah PRK N31 Bagan Pinang



KUALA LUMPUR, 9 Sept: Selepas PAS melantik Naib Presidennya, Salahudin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pula memutuskan PAS akan bertanding di kerusi itu.

Keputusan melantik Salahudin dibuat oleh Lajnah Politik PAS yang bersidang di sini Isnin lepas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di Seremban, keputusan memberi mandat kepada PAS untuk meletakkan calon di situ dibuat dalam mesyuarat bersama PAS, PKR dan DAP.

Dalam sidang media bersama mereka, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memaklumkan keputusan itu.

Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP negeri yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook.

Datuk Kamarul yang juga anggota Parlimen Telok Kemang berkata, PKR akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih oleh PAS.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang meminta agar calon PKR diletakkan dalam pilihan raya kecil itu.
(Gambar: Tokoh-tokoh penting di Bagan Pinang. Dari kiri Isa (Ketua Umno Bahagian), Ramli Ismail (YDP PAS), Husam (AJK PAS) dan Zulkefli (PJ PAS Negeri)

Dalam pilihanraya umum tahun lepas, Azman Mohd Nor, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Majoriti kemenangan adalah 2,333.

Halangan besar calon Pakatan dalam pilihanraya ini adalah undi Pos yang melebibihi 5,000 orang atau kira-kira 30 peratus dari pengundi kawasan ini.

Sementara itu, PAS Negeri Sembilan dikatakan mempunyai empat nama untuk menjadi calon di sini.

Mereka adalah Zulkefli sendiri di samping bekas Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, Ketua Dewan Ulama negeri, Kassim Tahir dan bekas calon dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail. Ramli adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang.

Di pihak Barisan Nasional pula, nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad disebut-sebut bakal menjadi calon.

Namun menurut satu sumber lain, bagi meringankan tekanan kepada calon yang mempunyai rekod tidak baik itu, nama anak beliau Mohd Najib disebut-sebut sebagai ganti.

Keputusan untuk menyerahkan kepada Umno Telok Kemang yang dipimpin Mohd Isa untuk membuat keputusan menamakan calon di situ dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.


05 September 2009

YB BN Kembali ke Rahmatullah... PRK Lagi.....

Adun Bagan Pinang, NS Meninggal
  
KUALA LUMPUR, 4 Sept: Malaysia bakal menyaksikan pilihan raya kecil terbaharu ekoran kematian Adun Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Azman Mohd Nor akibat sakit jantung di Seremban hari ini. 

Ekoran kematian beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari. 



Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Azman menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi apabila memperolehi 6,430 undi berbanding Ramli yang mendapat 4,097 undi. 

Dun Bagan Pinang yang mempunyai pengundi berdaftar sebanyak 14,192 ialah kawasan majoriti Melayu, sebanyak 66 peratus, dan pengundi Cina dan India masing-masing 10.5 dan 19.9 peratus. 

Negeri Sembilan ialah negeri yang dikenali sebagai kubu terkuat Umno dan Barisan Nasional, tetapi pembangkang mula meningkatkan usaha menawan beberapa kerusi di negeri ini. 

Kerajaan negeri pimpinan Umno di negeri ini telah menyaksikan pergolakan sejak Mac 2008 ekoran rasa kurang senang kepada Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan oleh ahli-ahli Umno, sehingga timbul spekulasi lompat parti oleh Adun BN kepada Pakatan. 

Pilihan raya kecil ini bakal menjadi yang kesembilan selepas pilihan raya umum yang lalu, yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi lapan daripada pilihan raya tersebut. 

Ketua Umno cawangan ini adalah Tan Sri Mohd Isa bin Abd Samad. Beliau juga adalah Ketua Umno Bahagian Telok Kemang. 

31 Ogos 2009

Perutusan Merdeka Ketua Menteri Pulau Pinang

Mesej Merdeka 2009, Ketua Menteri

Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-52 negara kita mencapai kemerdekaan.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa virus A(H1N1) dan berharap mereka yang sedang dirawat terus bersemangat tinggi. Saya harap pihak kerajaan dapat berusaha dengan lebih gigih untuk mengatasi wabak ini yang sudah menelan banyak nyawa yang tidak berdosa.

Lebih separuh abad kita Merdeka, masih ada golongan yang bermain dengan api perkauman. Media arus perdana milik parti pemerintah terutamanya Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times and TV3 juga memainkan peranan dalam usaha menghasut rakyat untuk membenci atas dasar kaum dan agama. Tindakan mengheret kepala binatang untuk menghina kaum tertentu amat tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan berlawanan dengan semangat perpaduan serta makna merdeka. Perbuatan keji ini harus dihentikan serta-merta dengan digantikan suatu sikap hormat-menghormati, saling percaya dan persahabatan yang jujur dapat mengatasi masalah perkauman.

Keyakinan rakyat kepada kerajaan juga semakin rapuh berikutan banyak tindakan berat sebelah dan pilih kasih yang telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bersikap adil dan saksama. Sikap tidak profesional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM atau MACC) yang hanya bertindak terhadap pemimpin dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat, khususnya DAP, telah dengan jelas menunjukkan kepincangan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Malah pengendalian kes kematian Teoh Beng Hock mengenai siasatan membabitkan RM 2,400 adalah satu lagi bukti di mana SPRM/MACC tidak profesional dalam menjalankan tugas. Sebaliknya, siasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM12.5 bilion serta pembabitan pemimpin-pemimpin tertinggi BN adalah bukti kes ini tidak disiasat dengan serius.

Malah, setelah 52 tahun Merdeka, kerajaan masih lagi mengabaikan kebajikan rakyat Malaysia. Bukan sahaja mereka yang miskin di Semenanjung dipinggirkan, malah ramai lagi sahabat kita di Sabah dan Sarawak terus ketinggalan dari arus pembangunan negara. Di pedalaman Sarawak, rakyat Malaysia khususnya Penans di Lusung Laku, Long Avit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim, Long Ladem, Long Bangga dan Lusung Laku kini menghadapi masalah tidak cukup makanan dan hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Apakah ini erti pembangunan dan nikmat kemajuan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan BN di mana rakyat sendiri hampir kebuluran?

Makna Merdeka yang sebenar dihayati adalah berdasarkan demokrasi dan bukanlah menggantikan penjajah dengan pemimpin tempatan yang tidak menghormati Prinsip 5K Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan Kepada Rakyat Dan Ketakwaan Kepada Tuhan. Hanya dengan menegakkan prinsip 5K, barulah rakyat dapat menikmati hasil ekonomi, berkongsikan kekayaan negara dan sekaligus mengatasi masalah ekonomi yang menghantui kita. Hanya dengan memberikan balik kuasa kepada rakyat Perak memilihkan kerajaan pilihan mereka semula, barulah demokrasi dan makna merdeka yang sebenarnya boleh hidup lagi di Malaysia.

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang


Perutusan Hari Merdeka oleh Presiden PAS


Perutusan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 oleh Presiden PAS

 


Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini. 

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka. 

Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. 

Itulah makna kemerdekaan yang sebenar. 

Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam. 

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta’ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan ‘obor’ kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi’e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub’ie yang terkenal.

Kata Rubie, ”Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT”. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat”.

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini. 


Sekian, Wassalam
TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Selamat Menyambut Hari Merdeka!

SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA

KE 52


DARIPADA

SELURUH AJK PAS

CAWANGAN TELOK BAHANG

25 Ogos 2009


PAKATAN RAKYAT- PAS (Ustaz Hj Salleh Man)
 
 9618 



BN (Rohaizat Othman)
 
 5067 

PAS menang dengan Majoriti 4662 


22 Ogos 2009

Tak Kenal Maka Tak Cinta : Kenali Calon N11 Permatang Pasir


USTAZ SALEH Man yang diamanahkan sebagai calon Pakatan Rakyat dari PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) N11 Permatang Pasir sememangnya dikenali sebagai seorang tokoh yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja.


Dengan berbekalkan sikap mesra dan senang didekati serta penguasaan ilmu dan pengalaman yang luas dalam banyak bidang kehidupan, beliau seringkali dipercayai menjadi pemimpin.

Sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, jangkauan kepimpinannya melangkaui ke seluruh pelusuk negeri itu. Malah setiap bulan akan bersama dengan saf kepimpinan PAS peringkat Malaysia dalam mesyuarat PAS Pusat.

Pengalamannya bukan sehari dua. Beliau mendaki tangga-tangga kecemerlangan politiknya dari peringkat bawah lagi. Bermula di cawangan sehingga ke peringkat negara. 

Dalam tempoh itu, beliau berhadapan dengan tenang dan sabar segala macam sepak terajang politik terutamanya dari pihak musuh politik yang dianggapnya sebagai rakan sejawatan yang masih boleh diajak berkawan.

Satu sifat mesra yang menjadi amalan beliau sejak sekian lama adalah meletakkan tangannya di atas bahu sesiapa yang ada di sampingnya sambil menepuk-nepuk sebagai tanda hubungan akrab antara keduanya. Jika dilihat kebanyakan gambarnya, beliau kelihatan murah dengan senyum sambil bersalaman erat dengan kedua belah tangan.

Ustaz Saleh, 55, kelahiran Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai. Mendirikan rumah tangga dengan Puan Siti Fatimah Othman dan kini dianugerahkan lima cahaya mata.

Selepas tamat Sekolah Kebangsaan Permatang Buluh, Kepala Batas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, beliau beralih arah ke Madrasah Khariah Islamiah, Pokok Sena pada tahun 1970 hingga 1978 untuk mendalami ilmu agama.

Kemudian ke Maktab PGAS, Guar Perahu, Bukit Mertajam seterusnya ke Yayasan Pengajian Islam Nilam Puri, Kelantan dalam bidang Syariah. Selepas itu menyambung pelajaran ke Akademi Islam Univesiti Malaya (UM) dalam jurusan sama sehingga memperolehi ijazah.

Selepas memimpin cawangan, Pemuda Kawasan Tasek Gelugor, YDP kawasan sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri seterusnya menimba pengalaman sebagai Timbalan Pesuruhjaya sebelum menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai pendidik, pentadbir sekolah dan penceramah agama dan politik. Semua bidang yang diceburinya mendekatkan beliau dengan seluruh komponen masyarakat setempat. 

Lantaran rapat dengan bekas Adun Permatang Pasir, Allahyarham Dato’ Haji Mohd Hamdan Abdul Rahman, maka tidak hairan beliau sanggup jatuh bangun bersama PAS walaupun ‘belum menang’ dalam lima pilihan raya sebelum ini.

Semangat gigihnya tetap membara, berkeyakinan tinggi dan mantap, setiap kali menyertai pilihan raya umum bermula 1986 dan 1990 di Dun Sungai Dua, 1996 (Parlimen Tasek Gelugor/Dun Permatang Berangan), 2004 (Pinang Tunggal) dan Mac 2008 (Sungai Dua).

17 Ogos lalu, diumumkan secara rasmi, Ustaz Saleh Man layak menjadi calon di dalam PRK N11 Permatang Pasir berhadapan calon BN, Rohaizat Othman. Polis menganggarkan kehadiran penyokong PR lebih 5,000 berbanding 800 BN.

Permatang Pasir mempunyai 20,350 pengundi di mana 72.93 peratus adalah Melayu, 25.87 peratus (Cina), 1.10 peratus (India). 

Dengan berbekalkan undi PAS sebanyak 11,004 dengan majoriti 5,433 yang diperolehi Haji Hamdan pada PRU12 2008, Ustaz Saleh dilihat mampu melangkah bergaya sebagai seorang pahlawan diiringi oleh semua pihak di dalam Pakatan Rakyat menjelang hari pengundian 25 Ogos depan.

Kata2 Seorang Calon.....


Kemenangan mengukuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat

SIASAH: Perasaan diamanahkan lagi menjadi calon

USTAZ SALEH: Saya terharu di atas kepercayaan parti dan bersyukur kepada Allah. Saya sendiri pun tidak menyangka kerana ramai calon lain mempunyai kelayakan tersendiri. Amanah pimpinan ini Insya Allah akan disempurnakan sebaik-baiknya. Berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik jika diberikan kepercayaan.
Sokongan keluarga memberikan semangat.
Bersyukur kerana mereka memahami tugasan dan peranan pimpinan negeri berhadapan dengan banyak cabaran. Dengan semangat dan sokongan anggota keluara ini memberikan keyakinan untuk terus bekerja.Sokongan rakyat pula khususnya di Dun Permatang Pasir, saya lihat ketika ziarah, turun dan berjumpa, respons amat menggalakkan dan cukup menggembirakan. Inilah rasanya petanda dan petunjuk bahawa mereaka akan terus dengan bersama dengan PR.

Telah lama bergerak, jadi kempen lebih mudah.
Ya lebih mudah. Atas kapasiti Salleh Man sehinggakan ada yang berkata, sudah menjadi ikon di sini dah dikenali bahkan di kalangan generasi muda. Hubungan itu timbul kerana kita kerap bertemu dengan semua pihak termasuk golongan pertengahan dan seangkatan dengan saya.

Azam kali ke enam bertanding
Nampak saya bertanding banyak kali kerana kekuatan perjuangan ini tidak pernah berakhir. Kemenangan akan tercapai juga. Inilah kesempatan terbaik untuk terus mendapat mandat dan meneruskan khidmat yang dimulakan oleh Allahyarham Dato’ Mohd Hamdan.

Antara isu utama dan hasrat rakyat
Di sini pinggir bandar, hala tuju yang boleh kita berikan adalah khidmat terbaik kepada pengundi. Taraf ekonomi rakyat tempatan yang perlu digarap. Termasuk merealisasikan perpaduan pelbagai kaum khususnya di Permatang Pasir. Selain itu, dapat bekerjasama mengukuhkan Kerajaan PR di Pulau Pinang ini. Walaupun satu kerusi tetapi tetap dikira sebagai sebagai sebahagian dari kerajaan memerintah. Sebab itu kita mesti pertahankan Permatang Pasir untuk melakukan kesinambungan. Ini perkara penting dan amat perlu kerana akan dapat membantu pertahankan Kerajaan PR.
Peranan media dan peraturan SPR
Kita minta semua pihak termasuk pihak keselamatan agar lebih telus dan ada pertimbangan keadilan. Ini adalah sistem demoktrasi yang diamalkan. Rasanya tidak perlu diulang-ulang. Rakyat sudah bosan dengan perkara ini. Rakyat sudah buat keputusan sendiri. Perubahan akan berlaku juga. Gelombangnya akan ada dan tiba sama ada dalam PRU atau PRK.

Kerjasama komponen PR
Alhamdulillah inilah bentuk kerjasama terbaik. Nampak jelas hubungan keakraban yang hebat. Dari kepimpinan hinggalah ke ahli biasa. Semuanya bekerja kuat. Setinggi penghargaan tahniah dan terima kasih di atas kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam PR.

Harapan pada pengundi
Saya berharap pengundi setia kepada PR akan terus memberikan sokongan padu sepertimana mereka mengundi bekas YB kita dahulu. Begitu dengan pengundi lain termasuk golongan muda. Mereka tahu hati budi pemimpin kita selama ini.Saya yakin masih ada hubungan hati bersama Allahyarham. Saya berharap mereka memberikan keyakinan sama kepada saya untuk meneruskan khidmat terbaik dan peranan bermakna itu untuk diteruskan, Insya Allah.


21 Ogos 2009

SALAM RAMADHAN


SALAM RAMADHAN BUAT SEMUA UMAT ISLAM

SEMOGA RAMADHAN KALI INI LEBIH BAIK DARI KELMARIN