Penanti: Jentera Pakatan Rakyat turun ke kampung
PENANTI, 23 Mei (Hrkh) -Jentera Pemuda Pakatan Rakyat akan turun ke semua kampung dan taman dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti untuk menerangkan kepentingan pilihan raya terutamanya di kalangan remaja agar mereka bersama mendokong cita-cita memajukan negeri ini.
Ketua Angkatan Muda parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pulau Pinang, YusmadiYusuf ketika ditanya cara terkini untuk memperkenalkan Pakatan Rakyat setelah Barisan Nasional (BN) enggan bertanding di Penanti menanbah, memandangkan BN takutkan kekalahan di sini menyebabkan pendekatan yang bakal dilaksanakan sebelum diubah.
Perubahan itu bukan bermakna Pakatan Rakyat mementingkan sokongan tambahan malahan mengharapkan satu peningkatan usaha penerangan sehingga ke akar umbi.
"Jentera Pemuda Pakatan Rakyat akan menjelajah semua pelusuh kampung memberikan penerangan demi penerangan tentang pentingnya pilihanraya kepada anak-anak muda. Mereka merupakan aset masa depan yang perlu diberikan pendidikan mendalam tentang keperluan tersebut, " terangnya.
Beliau berharap pendidikan politik dipelajari selama lapan hari berkempen di N12 ini kerana selain berpolitik jentera parti juga bertangungjawab memperkasakan masyarakat di samping membantu menonjolkan pengaruh Pakatan Rakyat yang bukan lagi menjadi pembangkang di Pulau Pinang.
Jentera Pakatan Rakyat juga diminta mengutamakan kempen secara berhemah tidak mewujudkan provokasi, emosi serta terlibat dengan tindakan Umno dan BN yang sengaja mencetuskan kemarahan jentera dengan tujuan melagakan sesama sendiri dalam Pakatan Rakyat.
"Rakyat jangan terpengaruh dengan cara Umno dan BN berpolitik. Mereka walaupun tidak menyertai pilihan raya tapi mereka akan mencipta taktik buruk untuk mengalahkan Pakatan Rakyat, " tambahnya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah ketika dihubungi menegaskan, semua jentera Pakatan Rakyat hendaklah diuruskan dengan baik agar tidak terikut dengan telatah Umno yang pastinya mahu melihat Pakatan Rakyat kalah kali ini.
"Kita harapkan kemenangan kali ini maka menjadi tanggungjawab jentera parti untuk membantu dan memastikan ia menjadi kenyataan, " ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan