24 Mei 2009

Penamaan Calon Penanti


Penanti: SPR umum pertandingan 4 penjuru!

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) -Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya mengesahkan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti akan ditandingi oleh 4 calon.

Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman akan menentang calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.

Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.

Sementara itu, calon-calon Bebas akan menggunakan simbol 'Kunci' untuk Aminah, Nai (Wau) dan Kamarul (Payung) sepanjang pilihan raya ini.

Berita perkembangan dan liputan Penamaan Calon Dun Penanti sejak pagi tadi. Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti baru selesai sebentar tadi. Berikut adalah laporan lintas langsung daripada wartawan Wan Nordin, Azamin Amin, Sabri Said dan Izwan Abdul Halim yang memaklumkan setiap perkembangan yang berlaku di Dewan Semarak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jalan Berapit, Bukit Mertajam,Penanti sejak pagi tadi.

11.55 pagi: Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya,Roslan Yahaya, mengesahkan calon Bebas,Mohd Saberi Othman dibatalkan pencalonannya.

11.15 pagi: Tempoh bantahan telah tamat pada jam 11 pagi tadi dan Pegawai SPR, Roslan Yahaya akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

10.00 pagi: Masa pencalonan telah ditutup dan masa bantahan bermula selama sejam sehingga jam 11 pagi nanti. Jika tiada bantahan, maka PRK Dun Penanti akan menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara 4 calon bebas dengan calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman.

9.55 pagi: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Momammad Nizar Jamaluddin tiba di kawasan pencalonan. Para penyokong yang terdiri daripada lebih 4,000 orang bersorak menyambut kehadirannya.

Ada yang berteriak 'Bubar Dun' dan 'Bubar Perak'. Nizar yang melambai tangan dan bersalaman bersama para penyokong meminta semua bersabar dan berkata, perjuangan masih belum berakhir dan kini pihaknya sedang membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah semalam.

9.50 pagi: Sehingga kini seramai 5 calon termasuk calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah; Nai Khan Ari; Khairul Romizu Idris; Mohd Saberi Othman dan calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bertanding dalam PRK ini.

Tempoh pencalonan akan berakhir jam 10 pagi nanti dan dijangka bilangan yang bertanding adalah seramai 5 orang termasuk calon daripada Pakatan Rakyat.

9.25 pagi: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan pemimpin veteran DAP tiba di kawasan pencalonan untuk memberikan sokongan.

9.15 pagi: Bebas pemimpin Gerakan,Nai Khan Ari menyerahkan borang pencalonan sebagai calon Bebas.

9.10 pagi: Seorang calon bebas, Khairul Romizu Idris yang juga bekas calon bebas PRK Parlimen Bukit Gantang tiba di Pusat Penamaan Calon IKBN sebentar tadi. Dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang beliau tewas dan telah hilang wang pertaruhan.

9.05 pagi: Calon Bebas, Mohd Saberi Othman memasuki IKBN untuk serahkan borang pencalonan.

9.02 pagi pagi: Calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman masuk ke dewan untuk serah borang sebagai calon Pakatan Rakyat.

9.00 pagi: Calon Bebas, Aminah ABdullah masuki dewan untuk serah borang pencalonan.

8.55 pagi: Calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman dilihat memasuki kawasan perkarangan Dewan IKBN dengan diiringi para pemimpin Pakatan Rakyat yang diketuai Dato' Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mat Akin.

8.50 pagi: Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu tiba di luar Dewan IKBN.

8.45 pagi: Perarakan calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman telah bermula seawal jam 8.30 pagi tadi dengan diiringi selebih 4,000 penyokong daripada KeADILan, PAS dan DAP.

Para penyokong Pakatan Rakyat kelihatan masih terus memenuhi ruangan kawasan yang diperuntukkan untuk Pakatan Rakyat.

Dr Mansor telah memasuki tempat penamaan calon iaitu Dewan Semarak, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penati jam 8.40 pagi tadi.

Turut kelihatan pemimpim Pakatan Rakyat di kawasan penamaan calon adalah, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat, Haji Anuar Tahir dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Pihak polis telah membuat beberapa sekatan terutamanya untuk penyokong Pakatan Rakyat apabila sekatan sejauh 300 meter sehingga menyebabkan para penyokong terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk ke kawasan perhimpunan. Tetapi bagi calon bebas, sekatan dibuat berdekatan dengan kawasan dewan pencalonan.

8.20 pagi: Calon Bebas, Nai Ari Khan tiba di pusat penamaan calon.

8.00 pagi: Suasana terkawal dan lengang. Pihak polis ditempatkan bagi mengawal keadaan sekitar IKBN.

7.45 pagi: Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Mansor Othman tiba di pusat penamaan calon. Beliau masih menunggu kehadiran penyokong parti lain dari jarak 300 meter dari kawasan penamaan.

7.40 pagi: Calon Bebas, Aminah Abdullah tiba di pusat penamaan calon di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam bersama suami dan tiga anaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan