11 September 2009

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Tanding di Bagan Pinang?

 

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar adalah antara tiga nama telah disenaraikan untuk dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PAS negeri itu malam tadi.

Menurut sumber, kebanyakan 25 ahli jawatankuasa bahagian, lebih cenderung untuk memilih Zulkefly untuk mewakili PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Di peringkat PAS Pusat pun, ada harapan cerah beliau terpilih (sebagai calon)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Sumber itu berkata pemilihan Zulkefly (foto) dianggap bersesuaian memandangkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man juga dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos lalu.

Tambahan pula, kata sumber lagi, Dr Rosli sekarang berada di Bangladesh atas urusan perniagaan.

Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Menurut sumber itu lagi, mesyuarat malam tadi juga turut membincang dan menyusun pembahagian tugas jentera pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Mengenai pendekatan kempen pilihanraya kecil kali ini, sumber berkata: "Kita mengambil pendekatan berhemah, iaitu tidak menyerang peribadi calon lawan kerana ia tidak berkesan terhadap pengundi Melayu.

"Tambahan pula, Bagan Pinang adalah kubu kuat (bekas menteri besar) Tan Sri Isa Samad yang mempunyai saudara mara di situ. Jika menyerang secara melulu, Pakatan Rakyat akan hilang sokongan, terutama pengundi Melayu," kata sumber itu.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, katanya, Pakatan Rakyat memenangi tiga daripada lapan peti undi di DUN tersebut di mana ketiga-tiganya merupakan kawasan kaum India.

"Kita akan mempertingkatkan undi kaum India di samping memberi penerangan dengan lebih baik kepada masyarakat Melayu.

"Kita ada masalah di kawasan perkampungan majoriti Melayu dan undi Pos," katanya.

Menurut sumber itu lagi, antara isu yang boleh dibangkitkan oleh Pakatan ialah isu kepala lembu di Shah Alam, isu kematian Teoh Beng Hock, isu kenaikan cukai tanah dan cukai pintu serta isu tanah adat yang tergadai.

 

Salahudin Ayub Pengarah PRK N31 Bagan Pinang



KUALA LUMPUR, 9 Sept: Selepas PAS melantik Naib Presidennya, Salahudin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pula memutuskan PAS akan bertanding di kerusi itu.

Keputusan melantik Salahudin dibuat oleh Lajnah Politik PAS yang bersidang di sini Isnin lepas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di Seremban, keputusan memberi mandat kepada PAS untuk meletakkan calon di situ dibuat dalam mesyuarat bersama PAS, PKR dan DAP.

Dalam sidang media bersama mereka, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memaklumkan keputusan itu.

Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP negeri yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook.

Datuk Kamarul yang juga anggota Parlimen Telok Kemang berkata, PKR akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih oleh PAS.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang meminta agar calon PKR diletakkan dalam pilihan raya kecil itu.
(Gambar: Tokoh-tokoh penting di Bagan Pinang. Dari kiri Isa (Ketua Umno Bahagian), Ramli Ismail (YDP PAS), Husam (AJK PAS) dan Zulkefli (PJ PAS Negeri)

Dalam pilihanraya umum tahun lepas, Azman Mohd Nor, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Majoriti kemenangan adalah 2,333.

Halangan besar calon Pakatan dalam pilihanraya ini adalah undi Pos yang melebibihi 5,000 orang atau kira-kira 30 peratus dari pengundi kawasan ini.

Sementara itu, PAS Negeri Sembilan dikatakan mempunyai empat nama untuk menjadi calon di sini.

Mereka adalah Zulkefli sendiri di samping bekas Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, Ketua Dewan Ulama negeri, Kassim Tahir dan bekas calon dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail. Ramli adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang.

Di pihak Barisan Nasional pula, nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad disebut-sebut bakal menjadi calon.

Namun menurut satu sumber lain, bagi meringankan tekanan kepada calon yang mempunyai rekod tidak baik itu, nama anak beliau Mohd Najib disebut-sebut sebagai ganti.

Keputusan untuk menyerahkan kepada Umno Telok Kemang yang dipimpin Mohd Isa untuk membuat keputusan menamakan calon di situ dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.


05 September 2009

YB BN Kembali ke Rahmatullah... PRK Lagi.....

Adun Bagan Pinang, NS Meninggal
  
KUALA LUMPUR, 4 Sept: Malaysia bakal menyaksikan pilihan raya kecil terbaharu ekoran kematian Adun Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Azman Mohd Nor akibat sakit jantung di Seremban hari ini. 

Ekoran kematian beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari. 



Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Azman menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi apabila memperolehi 6,430 undi berbanding Ramli yang mendapat 4,097 undi. 

Dun Bagan Pinang yang mempunyai pengundi berdaftar sebanyak 14,192 ialah kawasan majoriti Melayu, sebanyak 66 peratus, dan pengundi Cina dan India masing-masing 10.5 dan 19.9 peratus. 

Negeri Sembilan ialah negeri yang dikenali sebagai kubu terkuat Umno dan Barisan Nasional, tetapi pembangkang mula meningkatkan usaha menawan beberapa kerusi di negeri ini. 

Kerajaan negeri pimpinan Umno di negeri ini telah menyaksikan pergolakan sejak Mac 2008 ekoran rasa kurang senang kepada Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan oleh ahli-ahli Umno, sehingga timbul spekulasi lompat parti oleh Adun BN kepada Pakatan. 

Pilihan raya kecil ini bakal menjadi yang kesembilan selepas pilihan raya umum yang lalu, yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi lapan daripada pilihan raya tersebut. 

Ketua Umno cawangan ini adalah Tan Sri Mohd Isa bin Abd Samad. Beliau juga adalah Ketua Umno Bahagian Telok Kemang.