Kemaskini Terkini Hari Pengundian N31 DUN Bagan Pinang. klik sini
11 Oktober 2009
07 Oktober 2009
Misi Calon PAS di Bagan Pinang

Ini merupakan antara usahanya untuk menyelesaikan isu-isu yang disuarakan penduduk di kawasan berkenaan, seramai kira-kira 2,500 pengundi di kawasan Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Bradwall serta Sua Betong.
Zulkefly dalam temubual dengan Malaysiakini di rumahnya di Port Dickson hari ini berkata isu tersebut akan dibawa oleh pertubuhan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan beliau akan turut diperjelaskannya kepada pengundi.
"Jerit sudahpun turun untuk menemui mereka," katanya dan menambah perkara itu turut disentuh dalam ceramah Pakatan Rakyat dalam kempennya.
Dalam ceramah di Markas PAS Batu 4 malam tadi, ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan mendakwa, BN lebih senang mengambil sikap "menyusukan kera di hutan" dalam menangani tuntutan pekerja ladang berkenaan.
Zulkefly menjelaskan isu berkenaan perlu diketengahkan kepada pengundi berpendapatan rendah di kawasan berkenaan yang didakwanya tidak mendapat perhatian oleh kerajaan BN.
Pantai tercemar
Menurutnya lagi, beliau juga akan menemui keluarga nelayan di sekitar Batu 7, 8 dan 9 yang terjejas pendapatan mereka akibat buangan industri ke kawasan pantai berkenaan.
"Mereka ini adalah nelayan pantai. Apabila pantai tercemar akibat pembuangan toksik, tangkapan mereka terjejas.
"Jadi mereka perlu keluar lebih jauh ke tengah laut dan ini meningkatkan kos mereka.
"Mereka sepatutnya diubah supaya menjadi nelayan laut dalam," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Intan Duyung pagi ini.
Beliau turut menyentuh mengenai masalah tekanan air rendah yang sering dialami penduduk Bagan Pinang dan masalah banjir.
"Ini semuanya berlaku semenjak bekalan air diswastakan kepada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains). Penduduk juga mengadu kerana bil tinggi.
"Masalah banjir itu banjir biasa yang berlaku selepas hujan kerana perparitan tidak sempurna," jelasnya lagi.
Pengundi pos
Beliau bagaimanapun enggan mengulas strateginya bagi memenangi undi pos dari anggota tentera di Bagan Pinang.
Semalam Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata semakan PAS mendapati hanya 1,200 daripada 4,604 pengundi pos, yang benar-benar berada di Bagan Pinang.
"Saya tidak ada maklumat itu. Itu biarlah kepimpinan strategi PAS yang jelaskan. Tumpuan saya di sini adalah untuk menemui pengundi dan menjelaskan mengenai rekod PAS dalam memberi khidmat kepada penduduk di sini," kata Zulkefly.
"Contohnya dalam kes JE di Bukit Pelanduk. Ramai penternak babi di situ yang terjejas dan kita telah tolong mereka untuk dapatkan bantuan. Setakat ini masih ada 132 keluarga yang masih terjejas di kawasan itu," katanya,
Menurut Zulkefy lagi, walaupun Bukit Pelanduk tidak termasuk dalam kawasan pilihan raya DUN Bagan Pinang, semasa penamaan semalam, ada penduduk dari kawasan itu membawa sepanduk tentang JE.
"Ini menunjukkan isu ini sudah lama, semenjak sebelum Isa Samad menjadi MB lagi, tetapi masih belum berjaya diselesaikan oleh BN," tambahnya.
Biodata Calon PAS N31 DUN Bagan Pinang
Nama : Zulkefly Mohamad Bin Haji Omar
Tempat Lahir : Lenggeng, Negeri Sembilan
Tarikh Lahir : 14 Mei 1964 (45 tahun)
Nama Isteri : Saeiah bt Tarmizi
Bilangan Anak : 6 orang (4 Lelaki 2 Perempuan)
Latar Belakang Pendidikan
Ijazah Sarjana Sains (Master In Science – Corporat Communication), Universiti Putra Malaysia (UPM)
Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) UiTM
Latar Belakang Politik Dalam PAS
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan (2007 - )
Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan (2005 – 2007)
Mantan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan (2003 – 2005)
Mantan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (2001 – 2005)
Mantan Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (2004 – 2005)
Mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan (2001 – 2004)
Mantan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (1999 - 2001)
Mantan Penolong Setiausaha PAS Kawasan Seremban (1998 – 2000)
Latar Belakang Kerjaya
Pengarah Urusan / Konsultan Syarikat L & R Enterprise Sdn.Bhd
Mantan Pengurus Kanan (Perniagaan) – IS Technologies Sdn.Bhd (1999 – 2004)
Mantan Ketua Bahagian (Market Planning-C & B) – Telekom Malaysia
Mantan Eksekutif Perhubungan Korporat Pusat Zakat Selangor
Mantan Pegawai Perhubungan Ko-operasi Celcom
Mantan Biro Perkhidmatan Angkasa
Latar Belakang Organisasi NGO
Pengerusi No Incinerator Broga (Negeri Sembilan-Selangor)
Penasihat Persatuan Penduduk Tiang / Sri Petaling, Jelebu Negeri Sembilan
Penasihat Kelab Penyokong PAS (Mantin, Ulu Branang,Broga)
Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Cawangan Negeri Sembilan
Penasihat Persatuan Penjaja Ayam (Pasar Seremban)
Penasihat Jawatankuasa Bertindak Getco, Jele
Majlis Sumbangan Ramadhan & Aidilfitri Bersama PAS Cawangan
Majlis Sumbangan Ramadhan & Aidilfitri anjuran PAS Cawangan Telok Bahang telah diadakan pada 5 oktober 2009 bertempat di Surau Al Masakin Telok Bahang.
Majlis di hadiri oleh YDP PAS Kawasan Balik Pulau Ustaz Fauzi Yusof, TYDP Saudara Jamaludin Said & beberapa pimpinan PAS Kawasan.
Ketua PAS Cawangan & AJK turut serta menghadiri majlis.
Majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa, solat maghrib, solat isyak & terawih berjemaah.
Majlis Sumbangan Ramadhan & Aidilfitri Bersama JKKK
Majlis sumbangan Ramadhan & Aidilfitri anjuran JKKK Telok Bahang bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diadakan pada 27 ogos 2009 di Dewan MPPP Telok Bahang.
Majlis telah dirasmikan oleh TKM 1 Pulau Pinang Dr Mansor Othman.
Tuan Speaker YB Halim, MP Balik Pulau YB Yusmadi Yusof & Ketua AMK Saudara Shamsul Iskandar turut hadir memeriahkan majlis.
Para penerima sumbangan & tetamu turut diraikan dengan majlis berbuka puasa di Masjid Telok Bahang selepas majlis tahlil.
11 September 2009
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Tanding di Bagan Pinang?
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar adalah antara tiga nama telah disenaraikan untuk dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.
Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PAS negeri itu malam tadi.
Menurut sumber, kebanyakan 25 ahli jawatankuasa bahagian, lebih cenderung untuk memilih Zulkefly untuk mewakili PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.
"Di peringkat PAS Pusat pun, ada harapan cerah beliau terpilih (sebagai calon)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
Sumber itu berkata pemilihan Zulkefly (foto) dianggap bersesuaian memandangkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man juga dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos lalu.
Tambahan pula, kata sumber lagi, Dr Rosli sekarang berada di Bangladesh atas urusan perniagaan.
Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.
Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.
Menurut sumber itu lagi, mesyuarat malam tadi juga turut membincang dan menyusun pembahagian tugas jentera pilihanraya kecil Bagan Pinang.
Mengenai pendekatan kempen pilihanraya kecil kali ini, sumber berkata: "Kita mengambil pendekatan berhemah, iaitu tidak menyerang peribadi calon lawan kerana ia tidak berkesan terhadap pengundi Melayu.
"Tambahan pula, Bagan Pinang adalah kubu kuat (bekas menteri besar) Tan Sri Isa Samad yang mempunyai saudara mara di situ. Jika menyerang secara melulu, Pakatan Rakyat akan hilang sokongan, terutama pengundi Melayu," kata sumber itu.
Dalam pilihanraya umum yang lalu, katanya, Pakatan Rakyat memenangi tiga daripada lapan peti undi di DUN tersebut di mana ketiga-tiganya merupakan kawasan kaum India.
"Kita akan mempertingkatkan undi kaum India di samping memberi penerangan dengan lebih baik kepada masyarakat Melayu.
"Kita ada masalah di kawasan perkampungan majoriti Melayu dan undi Pos," katanya.
Menurut sumber itu lagi, antara isu yang boleh dibangkitkan oleh Pakatan ialah isu kepala lembu di Shah Alam, isu kematian Teoh Beng Hock, isu kenaikan cukai tanah dan cukai pintu serta isu tanah adat yang tergadai.
Salahudin Ayub Pengarah PRK N31 Bagan Pinang
KUALA LUMPUR, 9 Sept: Selepas PAS melantik Naib Presidennya, Salahudin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pula memutuskan PAS akan bertanding di kerusi itu.
Keputusan melantik Salahudin dibuat oleh Lajnah Politik PAS yang bersidang di sini Isnin lepas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Di Seremban, keputusan memberi mandat kepada PAS untuk meletakkan calon di situ dibuat dalam mesyuarat bersama PAS, PKR dan DAP.
Dalam sidang media bersama mereka, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memaklumkan keputusan itu.
Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP negeri yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook.
Datuk Kamarul yang juga anggota Parlimen Telok Kemang berkata, PKR akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih oleh PAS.
Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang meminta agar calon PKR diletakkan dalam pilihan raya kecil itu.
(Gambar: Tokoh-tokoh penting di Bagan Pinang. Dari kiri Isa (Ketua Umno Bahagian), Ramli Ismail (YDP PAS), Husam (AJK PAS) dan Zulkefli (PJ PAS Negeri)
Dalam pilihanraya umum tahun lepas, Azman Mohd Nor, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Majoriti kemenangan adalah 2,333.
Halangan besar calon Pakatan dalam pilihanraya ini adalah undi Pos yang melebibihi 5,000 orang atau kira-kira 30 peratus dari pengundi kawasan ini.
Sementara itu, PAS Negeri Sembilan dikatakan mempunyai empat nama untuk menjadi calon di sini.
Mereka adalah Zulkefli sendiri di samping bekas Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, Ketua Dewan Ulama negeri, Kassim Tahir dan bekas calon dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail. Ramli adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang.
Di pihak Barisan Nasional pula, nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad disebut-sebut bakal menjadi calon.
Namun menurut satu sumber lain, bagi meringankan tekanan kepada calon yang mempunyai rekod tidak baik itu, nama anak beliau Mohd Najib disebut-sebut sebagai ganti.
Keputusan untuk menyerahkan kepada Umno Telok Kemang yang dipimpin Mohd Isa untuk membuat keputusan menamakan calon di situ dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.
05 September 2009
YB BN Kembali ke Rahmatullah... PRK Lagi.....
Adun Bagan Pinang, NS Meninggal
KUALA LUMPUR, 4 Sept: Malaysia bakal menyaksikan pilihan raya kecil terbaharu ekoran kematian Adun Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Azman Mohd Nor akibat sakit jantung di Seremban hari ini.
Ekoran kematian beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Azman menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi apabila memperolehi 6,430 undi berbanding Ramli yang mendapat 4,097 undi.
Dun Bagan Pinang yang mempunyai pengundi berdaftar sebanyak 14,192 ialah kawasan majoriti Melayu, sebanyak 66 peratus, dan pengundi Cina dan India masing-masing 10.5 dan 19.9 peratus.
Negeri Sembilan ialah negeri yang dikenali sebagai kubu terkuat Umno dan Barisan Nasional, tetapi pembangkang mula meningkatkan usaha menawan beberapa kerusi di negeri ini.
Kerajaan negeri pimpinan Umno di negeri ini telah menyaksikan pergolakan sejak Mac 2008 ekoran rasa kurang senang kepada Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan oleh ahli-ahli Umno, sehingga timbul spekulasi lompat parti oleh Adun BN kepada Pakatan.
Pilihan raya kecil ini bakal menjadi yang kesembilan selepas pilihan raya umum yang lalu, yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi lapan daripada pilihan raya tersebut.
Ketua Umno cawangan ini adalah Tan Sri Mohd Isa bin Abd Samad. Beliau juga adalah Ketua Umno Bahagian Telok Kemang.
31 Ogos 2009
Perutusan Merdeka Ketua Menteri Pulau Pinang
Mesej Merdeka 2009, Ketua Menteri
Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-52 negara kita mencapai kemerdekaan.
Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa virus A(H1N1) dan berharap mereka yang sedang dirawat terus bersemangat tinggi. Saya harap pihak kerajaan dapat berusaha dengan lebih gigih untuk mengatasi wabak ini yang sudah menelan banyak nyawa yang tidak berdosa.
Lebih separuh abad kita Merdeka, masih ada golongan yang bermain dengan api perkauman. Media arus perdana milik parti pemerintah terutamanya Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times and TV3 juga memainkan peranan dalam usaha menghasut rakyat untuk membenci atas dasar kaum dan agama. Tindakan mengheret kepala binatang untuk menghina kaum tertentu amat tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan berlawanan dengan semangat perpaduan serta makna merdeka. Perbuatan keji ini harus dihentikan serta-merta dengan digantikan suatu sikap hormat-menghormati, saling percaya dan persahabatan yang jujur dapat mengatasi masalah perkauman.
Keyakinan rakyat kepada kerajaan juga semakin rapuh berikutan banyak tindakan berat sebelah dan pilih kasih yang telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bersikap adil dan saksama. Sikap tidak profesional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM atau MACC) yang hanya bertindak terhadap pemimpin dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat, khususnya DAP, telah dengan jelas menunjukkan kepincangan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Malah pengendalian kes kematian Teoh Beng Hock mengenai siasatan membabitkan RM 2,400 adalah satu lagi bukti di mana SPRM/MACC tidak profesional dalam menjalankan tugas. Sebaliknya, siasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM12.5 bilion serta pembabitan pemimpin-pemimpin tertinggi BN adalah bukti kes ini tidak disiasat dengan serius.
Malah, setelah 52 tahun Merdeka, kerajaan masih lagi mengabaikan kebajikan rakyat Malaysia. Bukan sahaja mereka yang miskin di Semenanjung dipinggirkan, malah ramai lagi sahabat kita di Sabah dan Sarawak terus ketinggalan dari arus pembangunan negara. Di pedalaman Sarawak, rakyat Malaysia khususnya Penans di Lusung Laku, Long Avit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim, Long Ladem, Long Bangga dan Lusung Laku kini menghadapi masalah tidak cukup makanan dan hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Apakah ini erti pembangunan dan nikmat kemajuan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan BN di mana rakyat sendiri hampir kebuluran?
Makna Merdeka yang sebenar dihayati adalah berdasarkan demokrasi dan bukanlah menggantikan penjajah dengan pemimpin tempatan yang tidak menghormati Prinsip 5K Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan Kepada Rakyat Dan Ketakwaan Kepada Tuhan. Hanya dengan menegakkan prinsip 5K, barulah rakyat dapat menikmati hasil ekonomi, berkongsikan kekayaan negara dan sekaligus mengatasi masalah ekonomi yang menghantui kita. Hanya dengan memberikan balik kuasa kepada rakyat Perak memilihkan kerajaan pilihan mereka semula, barulah demokrasi dan makna merdeka yang sebenarnya boleh hidup lagi di Malaysia.
LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Hari Merdeka oleh Presiden PAS

Perutusan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 oleh Presiden PAS
Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.
Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.
Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.
Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.
Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.
Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta’ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.
Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.
Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.
Dan ‘obor’ kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi’e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub’ie yang terkenal.
Kata Rubie, ”Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT”. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat”.
Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.
Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.
Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.
PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.
Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.
Sekian, Wassalam
TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS









