12 Julai 2009

GEORGETOWN, 11 Julai (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran 'Dato' sempena ulangtahun Tun Yang Terutama Tun Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas yang ke-71 di Dewan Sri Pinang pagi tadi.

Hamdan yang pernah menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun selepas Tuan Guru Haji Zabidi Ali meninggal dunia merupakan tokoh PAS pertama negeri ini yang mendapat gelaran sedemikian. 

Selain beliau 38 orang lagi yang tersenarai mendapat gelaran Dato' ialah bekas YDP Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang kini menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri, Haji Farizan Darus dan penyanyi kumpulan Alleycat, mendiang Loganathan Arumugam.

Manakala Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak pula merupakan satu-satunya pimpinan tertinggi kerajaan yang dianugerahkan Darjah Utama Pangkuang Negeri (D.U.P.N) yang mebawa gelaran Dato' Seri Utama. Walau bagaimanapun beliau tidak kelihatan dalam majlis berkenaan pagi tadi. 

Tiga individu dianugerahkan pingat Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato' Seri termasuk Ketua Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Negeri Pulau Pinang, Dato' Zahrain Mohamed Hashim. 

Sempena ulangtahun TYT kali ini seramai 793 orang menerima pingat yang membawa berbagai gelaran. 

Majlis anugerah itu diadakan selama tiga hari iaitu hari ini, Isnin dan Selasa. 

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man ketika dihubungi melahirkan kegembiraan kerana Hamdan memang selayaknya menerima kerana sumbangan bakti kepada parti, masyarakat dan rakyat Pulau Pinang sepanjang menjawat jawatan Pesuruhjaya dan Adun sekarang ini. 

Menurutnya, kerja buat Hamdan ketika menjadi Pesuruhjaya tempuhari tidak dinafikan memang terpuji ekoran mempunyai ideal serta agenda membangunkan PAS Negeri disamping berjaya meningkatkan sokongan pada PAS. 

"YB Hamdan memang layak menerima anugerah tersebut dengan pengorbananya yang tinggi terhadap perjuangan parti. Kini sebagai Adun beliau juga aktif merancang program dan dikenali sebagai salah seorang Adun di Pulau Pinang yang aktif mendampingi rakyat, " ujarnya yang merasai penganugerahan itu menandakan satu penghargaan yang tinggi terhadap PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan