30 November 2009

Pas Pulau Pinang Akan Dapat TPJ Baru

Mohamad Sabu sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang akan diganti

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu akan digantikan dengan seorang pemimpin baru yang telah dikenal pasti oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, rombakan kecil yang dibuat itu adalah sebagai salah satu usaha untuk mengukuh dan memantapkan lagi PAS negeri Pulau Pinang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Calon yang layak untuk mengisi tempat tersebut telah pun dikenal pasti.Namun begitu pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat tidak lama lagi.Rombakan kecil ini masih mengekalkan Mohamad Sabu sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS Pulau Pinang.Beliau juga diberi kepercayaan untuk menganggotai Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Negeri.

"Tindakan mengadakan rombakan kecil ini juga adalah sebagai salah satu langkah untuk menawan semula kerusi-kerusi yang ada dalam negeri ini masih dikuasai oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya yang lalu."
Mohd Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata demikian semasa majlis korban di Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh.

Sebelum ini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat(PKR) Pulau Pinang, Dr.Mansor Othman turut membuat beberapa rombakan dalam PKR bagi memantapkan lagi parti dengan tujuan untuk menawan semula kerusi-kerusi yang turut dikuasai oleh Barisan Nasional(BN) dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Adalah difahamkan perubahan yang sedang diambil oleh parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat terutamanya di Pulau Pinang adalah bagi memberi satu komitmen penuh kepada usaha untuk merampas semula kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang masih dikuasai oleh Umno dan BN menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan