02 Ogos 2009

Abang Mat ke Permatang Pasir?


Nama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hj Mohammad Sabu disebut-sebut sebagai calon poular untuk bertanding di dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir tidak lama lagi. Nama lain yang turut disebut-sebut ialah Ustaz Mohd Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

DUN Permatang Pasir kosong apabila wakil rakyatnya Datuk Hamdan Abdul Rahmat pulang ke rahmatullah di Institut Jantung Negara jam 6.15 pagi. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan petang tadi selepas Asar di kampungnya di Permatang Pasir Pulau Pinang.

Allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung. Beliau telah menjalani pembedahan jantung pada tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an.

Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man.

Mohd Hamdan baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk pada 11 Julai lalu daripada kerajaan Pulau Pinang.

Allahyarham, pesuruhjaya PAS negeri hingga 2003, bertapak di Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999.

Sebelum menceburi politik sepenuh masa, beliau berkhidmat sebagai guru di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah pada 1965 hingga 1966, kemudian sebagai pegawai pentadbir kerajaan Kedah mulai tahun 1966 ehingga 1977.

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah sebagai pegawai pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia antara 1977 hingga 1983.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak.

Dengan kematian Hamdan, bermakna SPR akan mengadakan satu pilihan raya kecil di situ dalam masa 60 hari dari sekarang.

Dalam pada itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir itu daripada Speaker (DUN) Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

“Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini danselepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN berkenaan,” katanya ketikadihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Abdul Halim berkata beliau masih menunggu sijil kematian Mohd Hamdan sebelum menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada SPR Pulau Pinang. Beliau berkata Dewan Undangan Negeri akan bersidang selama dua hari mulai 10 Ogos ini dan Allahyarham sudah mengemukan beberapa soalan bertulis untuk sesi kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan bahawa parti itu akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, satu tindakan yang bertentangan dengan sikap mereka sewaktu memboikot pilihanraya kecil Penanti yang menganggap pilihanraya kecil tersebut sebagai membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan