22 Ogos 2009

Tak Kenal Maka Tak Cinta : Kenali Calon N11 Permatang Pasir


USTAZ SALEH Man yang diamanahkan sebagai calon Pakatan Rakyat dari PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) N11 Permatang Pasir sememangnya dikenali sebagai seorang tokoh yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja.


Dengan berbekalkan sikap mesra dan senang didekati serta penguasaan ilmu dan pengalaman yang luas dalam banyak bidang kehidupan, beliau seringkali dipercayai menjadi pemimpin.

Sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, jangkauan kepimpinannya melangkaui ke seluruh pelusuk negeri itu. Malah setiap bulan akan bersama dengan saf kepimpinan PAS peringkat Malaysia dalam mesyuarat PAS Pusat.

Pengalamannya bukan sehari dua. Beliau mendaki tangga-tangga kecemerlangan politiknya dari peringkat bawah lagi. Bermula di cawangan sehingga ke peringkat negara. 

Dalam tempoh itu, beliau berhadapan dengan tenang dan sabar segala macam sepak terajang politik terutamanya dari pihak musuh politik yang dianggapnya sebagai rakan sejawatan yang masih boleh diajak berkawan.

Satu sifat mesra yang menjadi amalan beliau sejak sekian lama adalah meletakkan tangannya di atas bahu sesiapa yang ada di sampingnya sambil menepuk-nepuk sebagai tanda hubungan akrab antara keduanya. Jika dilihat kebanyakan gambarnya, beliau kelihatan murah dengan senyum sambil bersalaman erat dengan kedua belah tangan.

Ustaz Saleh, 55, kelahiran Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai. Mendirikan rumah tangga dengan Puan Siti Fatimah Othman dan kini dianugerahkan lima cahaya mata.

Selepas tamat Sekolah Kebangsaan Permatang Buluh, Kepala Batas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, beliau beralih arah ke Madrasah Khariah Islamiah, Pokok Sena pada tahun 1970 hingga 1978 untuk mendalami ilmu agama.

Kemudian ke Maktab PGAS, Guar Perahu, Bukit Mertajam seterusnya ke Yayasan Pengajian Islam Nilam Puri, Kelantan dalam bidang Syariah. Selepas itu menyambung pelajaran ke Akademi Islam Univesiti Malaya (UM) dalam jurusan sama sehingga memperolehi ijazah.

Selepas memimpin cawangan, Pemuda Kawasan Tasek Gelugor, YDP kawasan sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri seterusnya menimba pengalaman sebagai Timbalan Pesuruhjaya sebelum menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai pendidik, pentadbir sekolah dan penceramah agama dan politik. Semua bidang yang diceburinya mendekatkan beliau dengan seluruh komponen masyarakat setempat. 

Lantaran rapat dengan bekas Adun Permatang Pasir, Allahyarham Dato’ Haji Mohd Hamdan Abdul Rahman, maka tidak hairan beliau sanggup jatuh bangun bersama PAS walaupun ‘belum menang’ dalam lima pilihan raya sebelum ini.

Semangat gigihnya tetap membara, berkeyakinan tinggi dan mantap, setiap kali menyertai pilihan raya umum bermula 1986 dan 1990 di Dun Sungai Dua, 1996 (Parlimen Tasek Gelugor/Dun Permatang Berangan), 2004 (Pinang Tunggal) dan Mac 2008 (Sungai Dua).

17 Ogos lalu, diumumkan secara rasmi, Ustaz Saleh Man layak menjadi calon di dalam PRK N11 Permatang Pasir berhadapan calon BN, Rohaizat Othman. Polis menganggarkan kehadiran penyokong PR lebih 5,000 berbanding 800 BN.

Permatang Pasir mempunyai 20,350 pengundi di mana 72.93 peratus adalah Melayu, 25.87 peratus (Cina), 1.10 peratus (India). 

Dengan berbekalkan undi PAS sebanyak 11,004 dengan majoriti 5,433 yang diperolehi Haji Hamdan pada PRU12 2008, Ustaz Saleh dilihat mampu melangkah bergaya sebagai seorang pahlawan diiringi oleh semua pihak di dalam Pakatan Rakyat menjelang hari pengundian 25 Ogos depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan